Friday, July 31, 2015

[Facts Friday] Fakta tentang facebook

Salam dan hai kepada para readers semua...

Semua orang tau tentang Facebook kan, dan aku rasa semua orang ada akaun Facebook. Aku pun ada juga akaun Facebook, tapi dah berapa bulan dah aku tak bukak. Tak tau lah kenapa aku malas sangat nak hadap Facebook tu, mungkin diatas faktor desakan hidup kot.hahaha. Kali ni aku nak share dekat korang beberapa fakta yang berkaitan dengan laman sosial Facebook ni..
Masa aku mula2 berfacebook dulu, benda ni selalu jadi.
Godam atau hacking
Setiap hari, sebanyak 600,000 cubaan telah dibuat untuk menggodam akaun Facebook, mungkin salah satu cubaan tu untuk godam akaun Facebook korang..

Bahasa lanun
Korang tau tak yang korang sebenar nya boleh tukarkan bahasa dekat Facebook tu dengan menggunakan bahasa lanun atau pirate language. Tapi bahasa lanun english lah, aku tak sure ada bahasa lanun melayu.

Facebook dan smartphone
Purata bagi seorang yang menggunakan Facebook di telefon pintar atau smartphone ada lah selama 14 jam untuk satu hari. Jadi lagi 10 jam tu korang gunakan untuk makan dan juga tidur..

Unfriend untuk selamanya
Terdapat beberapa kes yang orang sanggup membunuh cuma kerana mangsa tidak kawan atau unfriend suspek di laman Facebook. Tapi kalau sampai sanggup membunuh, memang patut lah orang tu kena unfriend.

Tekanan perasaan
Mengikut satu kajian, 1 daripada 3 orang akan berasa tertekan setelah masuk ke laman Facebook. Mungkin sebab orang tu tertengok gambar ex dorang kot, sebab tu dia tertekan..hehehe

Warna biru Facebook
Warna biru dipilih menjadi warna tema Facebook adalah kerana Mark Zuckerberg mengalami masalah rabun warna hijau dan merah. Agaknya sume benda yang dia pandang warna biru je kot..

Facebook di block
Negara China telah menghalang penduduknya dari mengakses Facebook, Twitter, dan New York Times sejak dari tahun 2009 lagi. Adakah dorang masih lagi menggunakan myspace.??

Lempang kalau nampak main Facebook
Seorang blogger telah mengupah seorang perempuan untuk melempang dirinya jika dia dilihat bermain Facebook. Agak-agaknya ada blogger kat Malaysia nak buat camtu.??

Like button
Pada asalnya, nama untuk "Like" button dipanggil sebagai "Awesome" button. Mungkin dorang tukar sebab panjang sangat awesome tu..

Waris kan Facebook akaun
Facebook ada ciri baru yang membolehkan korang untuk mewariskan akaun Facebook korang kalau korang meninggal dunia.. Aku baru tau pasal ni, tapi kalau betul boleh lah mintak orang tu deletekan akaun facebook aku..

Aku share kan fakta tentang Facebook sampai sini je, tapi kalau korang nak baca lagi banyak, korang boleh pergi dekat link ni je..
Sumber artikel.. 36 fakta tentang Facebook.

P/s : Facebook page untuk blog ni pun aku dah lama tak tengok, maybe aku patot delete je kot..

Thursday, July 30, 2015

[Tutorial Thursday] Cara cantikkan telur rebus

Salam dan hai kepada para readers semua...

Korang mesti pernah pergi kenduri kahwin dan dapat bunga telur kan. Biasanya telur rebus tu korang akan simpan dalam peti ais sebab korang belum lagi rasa nak makan telur tu. Tapi lepas lama-lama tersimpan, korang pun akan buang telur rebus tu sebab dah takde tempat nak letak telur biasa. Kalau nak bagi budak-budak makan pun kadang-kadang dorang makan sikit je.

Jadi hari ni aku nak ajar korang macam mana nak cantikkan telur rebus tadi tu dan lantas dapat menarik minat orang untuk memakannya.. Korang dah sedia ke belum nak membuat eksperimen terhadap telur-telur rebus yang tersimpan dalam peti ais korang tu.?? Kalau dah sedia, sila teruskan pembacaan korang ni..

Bahan-bahan :
- Telur rebus
- Pewarna makanan

Cara-cara:
- Korang retakkan kulit telur rebus yang korang ada tadi dengan menggunakan sudu atau korang hentakkan ke lantai je. Tapi jangan sampai tertanggal kulitnya tu.

- Kemudian, korang pilih lah pewarna makanan mana yang korang nak gunakan. Kalau ada macam-macam warna, korang gunakan je semua..

- Selepas itu, korang sapukan perwarna makanan tadi dekat kulit telur rebus yang dah retak tadi. Korang sapukan gunakan sudu boleh, gunakan tangan pun boleh tapi nanti tak boleh hilang pulak warnanya.

- Dah warnakan kulit telur tadi, korang bilas dengan air biasa dekat sinki rumah korang. Tapi kalau korang nak guna sinki rumah jiran pun boleh jugak, cuma pastikan yang korang dapat izin dulu lah.

- Bila dah siap basuh, korang keringkan sebentar di tempat-tempat yang boleh mengeringkan telur tadi. Kalau rajin sangat, korang guna hair dryer pun boleh je.

- Last steps, korang buangkan lah kulit telur tadi dan korang lihat lah hasil nya.

Okay, korang boleh lah tunjukkan dekat budak-budak tadi dan sudah pasti mereka akan makan telur rebus tadi dengan lahapnya. Bukan setakat budak-budak je yang tertarik, mesti jiran sebelah yang korang tumpang sinki tadi pun akan turut sama menikmati telur rebus yang telah korang ubah ni..Owh ye, sebenarnya aku belum cuba buat lagi dan aku harap siapa-siapa yang dah makan telur tu tak menghidap penyakit kronik lah ye.hehehe

Dah macam telur dinosaur pulak aku tengok.
P/s : Aku konfius nak letak kan entry ni dekat wordless wednesday or tutorial thursday..

Wednesday, July 29, 2015

[Wordless Wednesday] Bangunan dan jenis pemiliknya

Salam dan hai kepada para readers semua..

Sudah pasti pemiliknya seorang pemuzik.

Memang jelas yang pemiliknya suka duduk je dekat sini.

Bangunan pilihan untuk mereka yang hidup tunggang terbalik.

Rasanya pemilik bangunan ni seorang sekuriti guard

Tak pasti untuk pencinta siput atau memang rumah seekor siput.
 P/s : Yang mana satu kah menjadi idaman kalbu korang.??

Tuesday, July 28, 2015

[Tech Tuesday] 10 smartphone paling top masa kini.

Salam dan hai kepara para readers semua...

Smartphone merupakan satu alat komunikasi yang tidak asing lagi dalam kehidupan kita. Setiap tahun akan ada sahaja muncul model-model smartphone baru yang akan dijual dipasaran. Terlalu banyak model smartphone yang ada sekarang tapi korang tau tak yang manakah menjadi pilihan orang ramai.? Kat sini aku tunjukkan smarphone apa yang paling popular pada masa ini.

No.10 - Nexus 6
OS: Android 5 | Screen size: 5.96-inch | Resolution: 2560 x 1440 | Memory: 3GB | Storage: 32GB/64GB | Battery: 3,220mAh | Rear camera: 13MP | Front camera: 2MP

No.9 - Sony Xperia Z3
OS: Android 5 | Screen size: 5.15-inch | Resolution: 1920 x 1080 | Memory: 3GB | Storage: 16GB/32GB | Battery: 3,100mAh | Rear camera: 20.7MP | Front camera: 2.2MP

No.8 - iPhone 6 Plus
OS: iOS 8 | Screen size: 5.5-inch | Resolution: 1920 x 1080 | Memory: 1GB | Storage:16GB/64GB/128GB | Battery: 2,915mAh | Rear camera: 8MP | Front camera: 1.2MP

No.7 - Samsung Galaxy Note 4
OS: Android 5 | Screen size: 5.7-inch | Resolution: 2560 x 1440 | Memory: 3GB | Storage: 32GB | Battery: removable 3,220mAh | Rear camera: 16MP | Front camera: 3.7MP

No.6 - Sony Xperia Z3 Compact
OS: Android 5 | Screen size: 4.6-inch | Resolution: 1280 x 720 | Memory: 2GB | Storage: 16GB | Battery: 2,600mAh | Rear camera: 20.7MP | Front camera: 2.2MP

No.5 - HTC One M9
OS: Android 5 | Screen size: 5-inch | Resolution: 1920x1080 | Memory: 3GB | Storage: 32GB | Battery: 2840mAh | Rear camera: 20.7MP | Front camera: 4MP

No.4 - Samsung Galaxy S6 Edge
OS: Android 5 | Screen size: 5.1-inch | Resolution: 1440 x 2560 | Memory: 3GB | Storage: 32GB/64GB/128GB | Battery: 2560mAh | Rear camera: 16MP | Front camera: 5MP

No.3 - LG G4
OS: Android 5.1 | Screen size: 5.5-inch | Resolution: 2560 x 1440 | Memory: 3GB | Storage: 32GB | Battery: removable 3,000mAh | Rear camera: 16MP | Front camera: 8MP

No.2 - iPhone 6
OS: iOS 8 | Screen size: 4.7-inch | Resolution: 1334 x 750 | Memory: 1GB | Storage:16GB/64GB/128GB | Battery: 1,810mAh | Rear camera: 8MP | Front camera: 1.2MP

No.1 - Samsung Galaxy S6
OS: Android 5 | Screen size: 5.1-inch | Resolution: 1440 x 2560 | Memory: 3GB | Storage: 32GB/64GB/128GB | Battery: 2550mAh | Rear camera: 16MP | Front camera: 5MP
P/s : Haish, gambar-gambar semua ni buatkan aku nak beli phone baru lah..huhuhu

Monday, July 27, 2015

[Mumble Monday] Seminggu Cuti Beraya

Salam dan hai kepada para readers semua...

"Bos, nampaknya orang ramai dah mula update entry dah bos."
"Yelah bos, kita punya blog ni bila lagi nak update.? Takut orang dah tak datang dekat blog ni lagi je."
"Apa kata kalau kitorang update entry kosong je bos, boleh tak.?"
"Lagi pun bos, kitorang tak suka cuti lama-lama ni, takut jadi malas je.."

Itu adalah antara dialog diantara aku dan juga pekerja yang berkerja didalam blog ni. Nampaknya dorang sangat risau dengan cuti seminggu yang aku bagi dekat dorang. Oleh kerana dorang dah beria-ia sangat nak update blog, maka aku terpaksa lah memberikan kebenaran untuk mula mengupdate entry kedalam blog ni.

Wah-wah, ni berangan tahap apa aku pun tak tau. Takde maknanya blog ni boleh ada pekerja yang rajin macam tu. Aku sorang je yang kawal blog ni adalah dan aku pun bukannya rajin macam tu pun.. Okay-okay, aku start balik semula lah ye..

Hai korang semua, macam mana dengan raya korang.? Mesti semua happy je kan, yelah sebab dapat jumpa dengan saudara-saudara dan juga orang yang tersayang. Aku punya raya pun okay je, Alhamdulillah takde benda buruk yang menimpa terhadap aku dan juga keluarga aku. Memandangkan blog aku ni sudah seminggu tidak beroperasi, maka hari ini aku akan mulakan operasi mengupdate entry baru.

Yelah, takkan lah bila aku buat blogwalk nanti nak bagi korang baca entry lama kan.? Sebab tu kena bagi benda baru untuk korang baca. Tapi yang sebenarnya aku dah mula postkan entry baru sejak hari sabtu lagi, so kalau korang rajin, sila-sila lah baca ye. Entry untuk hari sabtu dan ahad ni entry berbentuk cerita je, untuk mereka yang rajin sahaja aku galakkan baca, tapi kalau tak rajin pun boleh je baca..hehehe

Hmm, okay lah aku nak stop merapu dalam entry ni. Aku nak mula buat blogwalk, aku nak balas balik komen-komen yang telah korang berikan sepanjang aku cuti dari menghadap blog ni. Terima kasih aku ucapkan sebab sudi juga singgah baca walaupun blog ni pergi cuti beraya haritu..

P/s : Huhuhu, siang tadi aku ada final exam, harap sangat-sangat yang aku dah buat terbaik.

Sunday, July 26, 2015

[Story Sunday] Kisah Aku Sebatang Pen

Salam dan hai kepada para readers semua...

Aku sebatang pen, aku dibuat disebuah kilang yang aku sendiri tidak tahu dimana letak tempatnya. Di kilang itu lah tempat yang aku boleh panggil sebagai rumah kerana hanya disanalah aku pernah hidup bebas dan gembira. Ketika aku berada di kilang itu, aku selalu dikelilingi oleh kawan-kawan aku. Kami bermain-main didalam kilang itu dan aku sangat seronok dengan mereka.

Namun pada suatu hari, aku telah dibawa ke tempat pembungkusan dan disana aku telah dibungkus dengan plastik keras. Aku ketakutan kerana aku tidak dapat menggerakkan badan aku. Sudah puas aku memanggil nama kawan-kawan aku, namun tidak seorang pun yang muncul. Untuk menyedapkan hati, aku menganggap yang mereka tidak berada dikawasan itu.

Setelah dibungkus, aku dimasukkan kedalam sebuah kotak. Didalam kotak itu terdapat banyak pen-pen yang senasib seperti aku. Keadaan didalam kotak sangatlah gelap, aku tidak dapat melihat apa-apa. Aku hanya berdiam diri sahaja memandangkan pen-pen yang lain juga turut dia sama. Aku tertidur sepanjang masa aku berada didalam kotak itu.

Sehinggalah pada suatu hari, apabila aku membuka mata aku, satu cahaya terang mengaburi pandangan aku. Setelah beberapa ketika, pandangan aku sudah mula kembali seperti sedia kala. Aku lihat keadaan sekeliling aku, satu tempat yang sangat asing bagi diri aku. Tidak seperti di kilang-kilang, di sini keadaan tempatnya lebih bersih dan lebih sejuk.

Kini sudah lebih 2 bulan aku berada ditempat itu, aku tau nama tempat itu ialah kedai buku dan aku juga sudah berkenalan dengan penduduk disitu. Aku sempat berkenalan dengan Pembaris, Pemadam dan juga Pen Hitam. Tapi aku tidak tahu kenapa mereka semua tidak mahu berkawan dengan aku. Mereka kata aku gila kerana mengaku yang aku ini sebatang pen. Malah Pen Hitam juga tidak mahu mengaku yang aku sama jenis seperti dia.

Aku berasa sangat tertekan, hidup aku sepanjang 2 bulan itu tersangat lah sunyi. Setiap malam aku menangis mengenangkan nasib aku ini. Aku rindu dengan kawan-kawan aku dikilang sana, tapi apa yang boleh aku lakukan, aku kini sudah berada jauh dari sana, jadi aku perlu meneruskan kehidupan. Keesokan harinya, aku pergi bertemu dengan Pen Hitam kerana aku mahu mendapatkan kepastian mengapa dia tidak mahu mengaku aku sebagai kaum kerabatnya.

Tiba-tiba sepasang tangan memegang tubuh aku, tangan itu mengangkat aku dan aku terdengar satu suara menjerit "Hoiii, siapa yang susun PENDRIVE ni dekat tempat pen..!!!". Kini barulah aku tahu mengapa Pen Hitam, Pembaris dan juga Pemadam mengatakan aku gila, rupa-rupanya aku bukan lah sebatang PEN, tetapi sebatang PENDRIVE.

P/s : Macam karangan sekolah rendah pulak kan.???

Saturday, July 25, 2015

[Story Saturday] Tira (Part 3)

Salam dan hai kepada para readers semua...

...Sambungan daripada Tira (Part 2)

Setelah Tira menekan butang yang ada pada batu itu, keadaan menjadi seperti sedia kala. Suasana menjadi riuh rendah dengan bunyi kenderaan dan juga suara-suara orang yang berjalan kaki. Tanpa berfikir panjang, Tira menekan butang itu lagi sekali dan sekali lagi keadaan sekeliling menjadi senyap sunyi dan situasi seperti masa berhenti terjadi lagi sekali.

Barulah Tira tahu yang batu dia pegang itu mempunyai kuasa untuk menghentikan masa. Pada mulanya Tira takut kerana dia tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi pada dirinya. Tetapi setelah beberapa kali dia menggunakan batu itu untuk kepastian, barulah Tira yakin menggunakan batu hijau itu. Tira terfikir, dia bingung memikirkan untuk apa dia menggunakan batu itu.

Namun setelah beberapa kali dia berfikir, muncul satu idea jahat didalam fikirannya iaitu hendak membalas dendam terhadap Alia dan juga Zahid. Sepanjang malam dia memikirkan apakah balasan yang patut dia berikan kepada orang yang sangat dibencinya itu dan setelah membuat keputusan, Tira melelapkan matanya akibat kepenatan dengan apa yang terjadi kepada dirinya hari ini.

Keesokkan harinya, jam loceng berbunyi menandakan sudah pukul 9.30 pagi. Tira bingkas bangun kerana dia sudah tidak sabar lagi hendak membalas dendam terhadap Alia dan juga Zahid. Rancangan nya ialah dia mahu bersemuka dengan mereka berdua, kemudian membuat perkara yang boleh memalukan mereka berdua ketika masa diberhentikan.

Setelah Tira bersiap-siap untuk keluar, dia berjalan menuju ke taman permainan dimana itu merupakan tempat lepak Alia dan juga Zahid. Sewaktu dia sedang berjalan, entah bagaimana muncul seekor anjing menyalak kuat dihadapan Tira. Tira ketakutan dan tanpa dia berfikir panjang dia terus melarikan diri demi mengelakkan dirinya dari diapa-apakan oleh anjing tadi.

Apabila melihat Tira melarikan diri, anjing tadi mula membuka langkah ingin mengejar Tira. Dengan salakannya yang kuat membuatkan Tira semakin panik dan berlari semakin laju. Semakin laju Tira berlari, semakin dekat anjing itu cuba mengejarnya dan ketika detik-detik paling mencemaskan itu lah Tira mendapat akal. Dia mahu menghentikan masa untuk melarikan diri dari anjing tadi.

Tira mencari batu hijau yang ada didalam beg galasnya ketika berlari, ternyata susah baginya untuk mencari batu itu dalam keadaan sedang berlari. Setelah berusaha beberapa kali meraba-raba dalam begnya, akhirnya Tira dapat memegang batu hijau yang dicarinya. Tira sangat gembira kerana dia tahu sebaik sahaja dia menekan butang yang ada pada batu itu, dia sudah pasti akan selamat.

Batu hijau tadi dikeluarkan dari dalam beg, dan entah bagaimana dalam masa yang sama juga kaki Tira tersepak tunggul kayu lantas menyebabkan dirinya jatuh tersungkur. Ketika dirinya sedang terjatuh itu lah, batu hijau yang dipegang olehnya tadi terlepas dan Tira dapat melihat batu itu jatuh ke lantai. Malang tidak berbau, butang pada batu itu mengenai lantai jalan menyebabkan butang itu sekaligus tertekan.

Suasana menjadi senyap sepi, tiada sebarang bunyi mahupun pergerakan yang berlaku. Batu hijau tadi tergolek diatas lantai jalan bergerak dihadapan tubuh anjing yang kelihatan kaku dalam posisi berlari. Batu hijau itu terus bergolek dan kali ini ia melintasi badan Tira yang turut sama kaku seperti anjing tadi. Terhentilah masa sejak waktu itu dan mungkin cuma akan bergerak kembali jika butang pada batu hijau itu ditekan lagi.

P/s : Aku nak tamatkan terus lah cerita ni, sebab ada banyak lagi cerita lain yang aku nak buat..

Friday, July 17, 2015

[Facts Friday] Amalan Sunat Di Aidilfitri

Salam dan hai kepada para readers semua..

Selamat hari raya aidilfitri kepada semua para pembaca, tapi kalau masa korang baca ni hari raya haji, selamat hari raya haji aku ucapkan. Tapi macam mana pulak kalau masa korang baca ni takde hari yang special.? Kalau macam tu aku wish selamat sejahtera jelah ye..hehehe. Kali ni aku nak share dekat korang antara amalan sunat di hari raya. Jadi, teruskan pembacaan korang kalau nak tau..


Antara amalan sunat di hari raya aidilfitri.
Bertakbir
Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan juga  untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid utk menunaikan solat aidilfitri.

Memakai pakaian baik dan juga wangian
Disunatkan kaum muslimin memilih pakaian yang terbaik serta indah-indah mengikut kemampuan masing-masing untuk menuju tempat solat. Disunatkan juga kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita.

Menghidupkan malam raya dengan beribadah
Jika sepanjang Ramadhan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah contohnya melalui solat tarawih, maka ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud.

Makan sebelum solat sunat hari raya

Disunatkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.  Kebiasaannya Rasullullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada hari raya Aidilfitri.Mereka bebas memakan apa sahaja.

Bergembira di hari raya

Setelah sebulan umat islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t, maka tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah , seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat islam. 

Ada banyak lagi perkara sunat yang korang boleh buat, kalau korang nak tau korang tengok dekat blog  tempat aku amik artikel ni.

Sumber blog : 10 amalan sunat Rasulullah di hari raya aidilifiti

P/s :  Ada yang terlupa solat hari raya ke tadi.??hehehe

Thursday, July 16, 2015

[Tutorial Thursday] Cara Remove Write Protection

Salam dan hai kepada para readers semua..

Aku dah pernah buat entry tentang cara untuk buang write protection dekat kad micro SD. Walaupun ada orang yang berjaya mengikut tutorial tu, tapi masih ada juga yang gagal. Hehehe, suka-suka aku je cakap orang gagal, mungkin kena guna cara lain kot. Jadi dekat sini aku tunjukkan cara yang mungkin berjaya, sebab aku pun tak try lagi buat cara ni..

Cara ni memerlukan korang untuk masuk ke dalam registry. Apa itu registry..? Registry ialah tempat simpanan data (database) untuk OS Windows. Ia mengandungi semua jenis maklumat dari segi system, hardware dan juga program yang kita install. So, korang jangan pandai2 nak main uba-ubah dekat tempat ni. Okay, teruskan kepada tutorial kita.

Klik dekat Start Menu korang dan taip regedit dekat dalam ruangan Search for programs and files. Korang akan jumpa macam dalam gambar ni.

Tekan butang Enter. Registry Editor akan terbuka. Dekat bahagian kiri tu, ada ikon komputer dan bawah nya ada banyak folder kan. Okay, korang cari folder berdasarkan urutan dibawah ni.

HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\CurrentControlSet\Control\StorageDevicePolicies 

Sampai korang jumpa nama ni, WriteProtect .

Kalau korang jumpa benda tu, korang right click dekat benda tu dan pilih Modify.

Sekarang, korang mungkin akan nampak nilai yang ditulis tu disetkan kepada nombor 1. Nombor 1 bermaksud yang korang nak kad atau pendrive korang di write protect kan. Jadi, korang tukarkan no 1 tadi kepada nombor 0. Nombor 0 bermaksud yang korang tak nak gunakan write protect, lepas tu tekan lah butang OK.

Tutup Registry tadi dan cabut pendrive atau kad SD korang. Lepas tu korang pasang balik, dan tengok, menjadi tak cara tu. Kalau menjadi, tahniah lah aku ucapkan. Tapi kalau tak menjadi jugak, aku cadangkan korang tengok dekat website ni, dia ada banyak cara untuk menghadapi masalah write protect ni.
>> How to fix write protection

P/s : Kalau menjadi lah cara ni, korang bagitau aku ye. Owh ye, lupa pulak aku nak ucapkan, Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk tahun 2015, maaf zahir dan batin.

Wednesday, July 15, 2015

[Wordless Wednesday] Baju Raya Yang Tak Sesuai Dipakai.

Salam dan hai kepada para readers semua..

Sesuai untuk budak-budak simpan duit raya.

Mungkin diet bulan puasa dia menjadi sangat kot..

Ni nak panggil abang sado ke tak ni.??

Untuk tahan nafsu makan bila datang beraya dekat rumah orang..

Kalau ada sesiapa nak tunjuk langsir, boleh pakai baju ni..
P/s : Eh, baju raya korang warna apa ye..??

Tuesday, July 14, 2015

[Tech Tuesday] Benda Yang Kena Tahu Sebelum Membeli Komputer

Salam dan hai kepada para readers semua...

Membeli komputer sebenarnya bukan lah satu tugas yang mudah, dengan pelbagai jenis komputer yang keluar pada masa kini, korang mesti nak pastikan yang pembelian korang itu berbaloi. Jadi nanti takde lah rasa macam menyesal sebab dah terbeli komputer yang low specs. Bila dah tersalah beli, takkan korang nak beli lagi komputer yang baru kan.? Lebih baik korang teruskan pembacaan korang..

Dalam entry ni aku akan bagitau tips-tips yang perlu diambil kira kalau korang nak pregi beli komputer. Kalau korang ikut je tips-tips ni, insyaAllah yang korang dapat membeli komputer yang sesuai dengan kehendak pasaran korang. Bila dapat beli komputer yang sesuai, takde lah rasa macam menyesal kan.? Betul tak.??

Nampaknya kucing ni pun tengah cari komputer apa yang sesuai..

Dekstop atau Laptop ?
Untuk mereka yang tak tau, laptop sebenarnya lebih mahal jika dibanding kan dengan dekstop. Laptop mempunyai bateri dan ia boleh dibawa kemana-mana. Disebabkan kelebihannya itu lah yang membuatkan harga laptop menjadi tinggi jika dibandingkan dengan dekstop. Jadi, korang kena lah pilih sama ada korang nak beli laptop atau dekstop.

Pilih processor yang sesuai.
Processor boleh diibaratkan sebagai otak komputer. Kalau korang nak komputer korang tu laju bila buka program atau software, atau pun korang tak nak tunggu komputer korang lambat sangat hidupnya, korang kena lah pilih processor yang kuat. Macam mana korang nak tau processor tu kuat atau tak, korang tengok lah pada bahagian speeds dan core processor tersebut. Makin laju speeds dan banyak core, makin kuat lah processor tu.

RAM simpanan data sementara.
Random Access Memory (RAM) pulak boleh mempengaruhi berapa banyak program yang korang bukak dalam satu masa. Kalau RAM tu rendah, korang mungkin cuma dapat bukak satu fail je dalam satu masa, tapi kalau RAM besar pulak, korang boleh lah bukak lagu sambil buat kerja dan tengok video. Kalau korang pilihr RAM, korang tengok yang 1GB keatas tau, sebab bawah 1GB tu dah kira rendah dan kecik sangat tu.

Hard Drive atau memori komputer
Setiap komputer memerlukan tempat simpanan data, kalau takde tempat simpan data macam mana komputer tu nak simpan fail-fail lagu dan gambar korang kan. Jadi, sama macam dekat atas tadi, makin besar saiz hard drive tu, makin bagus lah dia..

Graphic Card untuk proses gambar.
Ini cuma tambahan je, tapi kalau boleh korang cari lah komputer yang mempunyai graphic card. Sebab dengan graphic card ni, dia boleh memproses gambar dalam komputer tu dengan lebih cantik. Tapi aku rasa komputer sekarang semuanya dah ada graphic card, jadi korang tak payah risau lah pasal ni.

Okay, cuma itu je tips yang aku nak share kan. Aku harap dapat lah membantu buat sesiapa yang tengah mencari komputer tu. Sebenarnya aku pun tengah pikir nak cari komputer baru, sebab tu aku buat entry ni supaya aku tak lupa benda apa yang aku kena tengok sebelum beli.

P/s : Korang rasa aku perlu buat semua perkataan inggeris kekal atau tukar kepada bahasa melayu.?

Monday, July 13, 2015

[Mumble Monday] Salam Aidilfitri Semua...

Salam dan hai kepada para readers semua..

Ye-ye aku tau yang raya tahun ni masa hari Jumaat, tapi tak salah kan kalau aku ucapkan dekat korang awal-awal.? Lagi pun masa malam raya dengan hari raya nanti aku memang dah tak boleh nak ucapkan dah, sebab mungkin masa tu aku sibuk dengan persiapan raya. Sibuk nak kemas rumah lah, buat kuih, masukkan duit raya kedalam sampul.

Amboi, macam sibuk sangat je bunyi nya kan walhal yang sebenarnya malam raya nanti aku cuma tengok tv je. Jadi seperti biasalah, kalau ada entry hari raya mesti akan ada cerita yang berkaitan dengan raya. Tapi kali ni aku nak tukar, aku nak entry ni berkaitan dengan hari bapa, boleh tak aku buat macam tu.? hehee. Takde lah, aku gurau-gurau je jangan lah korang marah sangat sampai nak pergi bakar lemang.

Untuk entry kali ni, aku nak korang pulak yang bercerita pengalaman hari raya korang. Kalau korang malas nak cerita dekat tempat komen, korang boleh je letak link entry korang yang berkaitan hari raya dekat tempat komen tu. Tapi kalau korang takde entry yang macam tu, korang letak link blog korang pun dah cukup. Aku malas lah nak bukak dekat profile tu.huhuhu

Hmm, rasanya cuma itu je kot benda yang aku nak bebelkan dekat entry ni. Owh ye, nak bagitau dekat sini yang mulai hari Sabtu sampai Jumaat nanti aku mungkin tak post entry sebab nak beraya kan. Tapi kalau masa tu ada juga entry baru yang muncul, mungkin aku dah buat entry autopost lah. Hahaha, aku dah tak tau nak tulis apa, jadi aku akhiri entry ini dengan ucapan Salam Aidilfitri, maaf Zahir dan Batin.
Sudilah kiranya korang terima kad raya yang aku reka sendiri ni..





P/s : Agak-agaknya masa hari raya nanti ada tak yang update blog.??

Sunday, July 12, 2015

[Story Sunday] Tira (Part 2)

Salam dan hai kepada para readers semua..

...Sambungan daripada Tira (Part 1)

Beg Tira bergerak-gerak dengan sendirinya dan Tira yang masih dalam keadaan terkejut mengambil batang penyapu yang berada di luar bilik. Dia segera menolak-nolak begnya kerana takut jika ada apa-apa haiwan yang berbahaya duduk didalam begnya itu. Setelah beberapa kali dia menolak beg tu, beg tadi kemudiannya senyap dan berhenti bergerak.

Tira berhati-hati mengangkat begnya dan ketika dia mengangkat beg itu, tiba-tiba ada sesuatu yang jatuh daripada kocek beg. Sebiji batu berwarna hijau tergolek dan ia menghala ke kaki Tira. Pada mulanya Tira agak takut untuk melihat batu sebesar bola golf itu, tapi entah kenapa dia terassa tertarik untuk mengetahui batu itu dengan lebih lanjut. Diambilnya batu itu dan kemudian dia membelek-belek batu itu.
Bayangkan jelah yang rupa batu tu macam pokeball ni..

Ada sesuatu yang pelik dengan batu itu, ditengah-tengah nya seolah-olah ada satu butang yang boleh ditekan. Tira cuba menekan-nekan butang tadi, tapi tiada apa-apa pun yang berlaku. Oleh kerana kepenatan yang teramat, Tira meletakkan semula batu tadi kedalam beg nya. Rancangan Tira ialah untuk membuang batu itu sebaik saja dia pergi ke kuliah esok pagi.

Sama seperti hari-hari sebelumnya, petang itu Tira berjalan pulang dari fakultinya. Sedang dia berjalan itu, baru lah dia teringat yang batu hijau semalam masih ada didalam begnya. Tira mula menyelongkar begnya sendiri mencari batu hijau itu. Ketika sedang leka mencari itu, ada satu suara memanggil namanya. Tira kenal suara itu dan pada mulanya dia enggan melihat siapa yang memanggilnya.

Suara yang memanggil namanya kini semakin dekat dan keras, Tira ketakutan untuk memandang wajah orang yang memanggilnya kerana dia tahu suara itu milik Alia. Akhirnya batu hijau yang dicari tadi sudah ada didalam genggamannya. Tira nekad untuk melarikan diri kerana dia tahu yang Alia pasti akan menyakitkan dirinya. Baru sahaja Tira melangkah, tangannya telah dipegang dengan genggaman yang kuat.

Tira terkejut dan dia berusaha untuk melepaskan diri. Tetapi usahanya untuk melepaskan diri membuatkan dirinya jatuh tersungkur apabila genggaman tangan yang kuat tadi melepaskan dirinya. Tira melihat Alia sudah mula berang terhadap dirinya, dan dia juga nampak yang Alia sudah mula mengangkat kakinya untuk memijak badan dia.

Kerana ketakutan sangat, Tira memejam matanya sambil terus menggenggam batu hijau didalam begnya dan secara kebetulan butang yang ada ditengah batu itu turut ditekan sama. Keadaan menjadi sunyi seketika, dan Tira mula membuka matanya. Sesuatu yang ganjil dan aneh telah berlaku terhadap dirinya, dia lihat keadaan sekeliling nya berhenti tidak bergerak.

Burung yang sedang berterbangan terhenti di udara, bunyi angin petang yang selalu bertiup juga tiada. Namun yang paling aneh sekali ialah, dihadapannya ada Alia yang masih lagi diposisi ingin memijak dia dan Zahid pula hanya berdiri kaku dibelakang Alia. Tira bingung dengan kejadian yang berlaku, dia berdiri dan berjalan sekeliling Alia. Dia cuba menyentuh Alia tapi takut jika Alia akan bergerak semula.

Tira segera berlari pulang ke rumah, dan sepanjang perjalanan dia pulang itu dia lihat semua orang tidak bergerak. Keadaan sekelilingnya semuanya terhenti seolah-olah masa sudah membeku. Apabila Tira sudah sampai dihadapan rumahnya, baru dia perasan yang tangannya masih lagi memegang batu hijau tadi. Dia perhatikan sekali lagi batu itu dan apabila dia menekan butang ditengah, secara tiba-tiba keadaan menjadi sedia kala.

Bersambung...

P/s : Aish, aku tak tau apa genre untuk citer kali ni. Kalau ada sesiapa yang baca, boleh tak bagitau kat aku citer ni genre apa.?

Saturday, July 11, 2015

[Story Saturday] Tira (Part 1)

Salam dan hai kepada para readers semua...

Tira, sorang pelajar yang mengambil jurusan sains komputer di sebuah universiti terkemuka. Peribadinya yang rajin dan sentiasa fokus terhadap pembelajarannya membuatkan dia menjadi salah seorang pelajar yang pintar didalam setiap kelas. Namun Tira adalah seorang yang kurang bersosial, masa cutinya banyak dihabiskan dengan membaca buku-buku.

Oleh kerana sikap kurang sosialnya juga membuatkan Tira sering menjadi mangsa buli oleh rakan-rakan sekelasnya. Tira selalu disuruh untuk menyiapkan assignment yang diberikan oleh pensyarah mereka. Walaupun Tira menerima, tapi jauh disudut hatinya itu tersimpan semua dendam dan perasaan amarah Tira terhadap rakan-rakan sekuliahnya.

Sehinggalah pada suatu petang, Tira baru sahaja tamat kuliah petangnya dan dia bersiap-siap untuk bergerak pulang. Ketika dia sedang berjalan di luar fakultinya, tiba-tiba ada sepasang tangan yang menarik badannya ke belakang. Tira yang terkejut hanya mampu mengikut sahaja arah tangan yang menarik dirinya. Setelah beberapa saat berjalan, tangan tadi melepaskan pegangannya dan menolak badan Tira jatuh ke tanah.

Tira cepat-cepat cuba untuk berdiri, tetapi ada pula beberapa kaki yang memijak badannya. Pandangan Tira mula beralih, mula melihat siapakah yang melakukan perbuatan biadap itu terhadap dirinya. Setelah diamati betul-betul, barulah Tira sedar rupanya Zahid dan juga Alia yang memijak badannya. Mereka berdua adalah pasangan kekasih yang suka membuat kacau disekitar kampus, dan orang yang selalu menjadi mangsa mereka ialah Tira.

Alia meminta Tira untuk memberikan dirinya wang yang berjumlah RM500 kerana mereka berdua sudah kehabisan wang akibat berjudi. Tira menolak permintaan Alia kerana dia sendiri tidak mempunyai wang sebanyak itu. Namun selepas Tira memberikan jawapan, tiba-tiba satu tendangan mengenai perut Tira, Tira menjerit kesakitan. Sementara Tira masih lagi baring kesakitan, Zahid menyelongkar beg Tira dan dia mengambil semua duit yang ada didalam beg itu.

Sebelum mereka berdua pergi, Alia memberitahu kepada Tira yang dia akan datang lagi untuk meminta wang yang dimintanya tadi. Tinggalah Tira terbaring sambil menahan kesakitan akibat disepak oleh Alia tadi, dan ketika dia sedang menahan sakit itu juga akhirnya Tira pengsan. Selepas beberapa jam, Tira membuka matanya, dia cuba bangun dan kali ini sakit akibat disepak tadi sudah mula hilang.

Tira cepat-cepat bangun dan memandangkan keadaan sudah gelap, dia bergegas mengemas beg nya yang bersepah tadi dan tanpa membuang masa, Tira terus pulang ke rumah sewanya. Setelah sampai dirumahnya, Tira terus terbaring kepenatan, dia sedih dengan hal yang berlaku kepada dirinya tadi. Dia takut kalau Alia mahu membunuhnya gara-gara dia tidak mengikut arahan Alia.

Sewaktu Tira sedang mengelamun itu lah tiba-tiba dia terdengar bunyi benda terjatuh. Tira yang terkejut tadi terus mencari dari manakah bunyi itu datang, dan setelah dia melihat keadaan sekeliling dia tahu bahawa bunyi jatuh tadi datang dari beg nya. Sewaktu dia sedang memandang begnya, sekali lagi Tira terkejut kerana begnya bergerak-gerak dengan sendirinya.

Bersambung....

Tira (Part 2)

P/s : Okay, cerita kali ni memang betul-betul spontan, sampai aku tak tau apa tajuk yang aku nak bagi..

Friday, July 10, 2015

[Facts Friday] 10 Fakta Tentang Buah Epal

Salam dan hai kepada pada readers semua..

Apalah owner blog ni, pergi promote buah larangan luar negara, buat lah entry yang boleh promote buah-buahan tempatan. Tak sayang negara betul lah owner blog ni, pergi duduk luar negara lah kalau macam tu... Okay, itu adalah dialog yang tiba-tiba muncul ketika aku sedang mula mengarang entry ini. Aku pun tak tau kenapa aku boleh mengeluarkan ayat-ayat yang sebegitu rupa, tapi biar kan jelah ye..hehehe

Mungkin ramai yang tau apa itu buah epal, tapi mungkin jugak ada yang tak tau. Kalau ada yang tau tu, pergi lah ke kedai Pak Hamid, dia ada jual buah epal segar yang baru dipetik dari ladang. Sudah-sudah, cukup lah aku merapu, kat sini aku senaraikan 10 fakta tentang epal yang korang mungkin tau atau mungkin tak tau.

1. Cuma ada satu saja buah epal yang berasal dari Amerika Utara iaitu crabapple.
2.  Buah epal mengandungi 0 grams lemak atau sodium dan buah epal juga tidak mempunyai kolestrol.
3.  Terdapat pelbagai saiz buah epal, bermula dari saiz sebesar kacang pis sehingga ke saiz labu.
4.  Ada dalam 8000 jenis buah epal di dunia ini.
5. Sebiji buah epal bersaiz sederhana mengandungi 80 kalori.
6.  Makan buah epal mampu untuk memperbaiki ingatan, kesedaran mental dan aktiviti elektrik yang ada didalam otak kita.
7. Boron yang ada didalam buah epal boleh menguatkan tulang.
8. Purata orang biasa memakan buah epal sebanyak 65 biji setiap tahun.
9. Terdapat 25% udara didalam buah epal, membuatkan buah tersebut boleh terapung diatas air.
10. Di China, buah epal disebut sebagai "ping" yang bermaksud aman (peace) .

P/s : Buah epal yang mana menjadi kegemaran korang.??

Thursday, July 09, 2015

[Tutorial Thursday] Cara Ubati Sakit Kepala

Salam dan hai kepada para readers semua..

Sakit kepala....
Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan kita mengalami sindrom Aeskruji Furangpa, atau lebih dikenali sebagai sakit kepala. Okay sebelum korang teruskan pembacaan korang yang baru nak khusyuk tu, biar aku bagitau korang yang nama sindrom kat atas tadi tu hanya lah rekaan aku semata-mata. Aku pun tak tau kenapa boleh tulis perkataan yang tidak membawa sebarang makna didalam kehidupan aku dan juga korang.
Ni bukan sakit kepala, ni kepala yang sakit.

Tapi yang pasti, korang semua pernah kena sakit kepala kan.?? Okay, kalau macam tu korang memang bertuah sebab aku buat entry ni. Dalam entry ni aku akan dedahkan rahsia-rahsia alam tentang cara untuk mengubati sakit kepala ini. Hahaha, banyak lah rahsia alam nya. Tutorial kali ni ialah macam mana nak hilangkan sakit kepala. Cara-cara yang aku bagitau ni berdasarkan pengalaman aku, setiap individu mempunyai kesan yang berbeza.

Langkah Satu
Minum air masak.
Kebiasaannya aku akan minum dalam 2 ke 3 cawan air masak, kemudian aku tunggu dalam masa 10 minit. Selalu nya sakit kepala yang aku alami akan berkurangan. Tapi kalau tak kurang jugak, korang baca langkah seterusnya..

Langkah Dua
Melihat pemandangan yang menenangkan.
Korang tanya dekat mana nak cari pemandangan yang menenangkan.? Korang jangan risau, dizaman serba maju ni, korang cuma perlu menaipnya sahaja di google dan korang pilih lah gambar pemandangan mana yang menenangkan korang.

Langkah Tiga
Tidur sebentar bersama kitkat
Haa, cara ni selalunya menjadi. Ini langkah final aku kalau aku dah sakit kepala sangat. Selalunya selepas aku bangun, aku akan segar dan sakit kepala aku hilang tanpa dapat dikesan.

Langkah Empat (tambahan)
Makan Panadol atau ubat yang berkenaan
Aku jarang buat cara ni, tapi kalau dah bangun tidur pun still sakit kepala. Kena jugak lah telan panadol 2 bijik. Korang jangan pulak makan ubat batuk ke or ubat gigi ke time sakit kepala, nanti lain pulak yang jadinya.

Okay, cuma itu je tutorial kali ni. Aku mintak maaf kalau ada sesiapa yang cuba ikut cara aku ni tapi masih lagi tak hilang sakit kepalanya. Kalau sakit kepala korang tu berterusan, aku cadangkan korang pergi klinik untuk check, takut korang kena migrain pulak.

P/s : Aku pun dari tadi sakit kepala, so lepas ni nak tido lah..

Wednesday, July 08, 2015

[Wordless Wednesday] 10 Ramadhan Terakhir

Salam dan hai kepada para readers semua...

Tips untuk 10 malam ramadhan terakhir.

10 malam terakhir ramadhan, kita pilih yang mana??

Amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir ramadhan.

Tips untuk iktikaf di 10 malam terakhir ramadhan
P/s : Nampaknya bulan puasa sudah mula menghampiri ke penghujungnya, jom kita sama-sama meningkat kan amal ibadat kita..

Tuesday, July 07, 2015

[Tech Tuesday] Mengenali Augmented Reality

Salam dan hai kepada para readers semua...

Okay, untuk entri malam ni aku nak cerita dekat korang tentang Augmented reality. Tetapi apa kejadahnya Augmented Reality ni.?? Adakah ianya sejenis makhluk purba yang pernah hidup di zaman dahulu kala.?? Atau mungkin ianya seekor makhluk asing dari planet lain.?? Hahaha, yelah2 aku tak merepek dekat entri ni. Aish, dekat semua entri aku nak merepek, kesian korang semua yang baca ni..

Apa itu Augmented Reality ?

Atau lebih dikenali sebangai AR, Augmented Reality ialah salah satu jenis realiti maya yang bertujuan untuk membuat salinan persekitaran dunia realiti ke dalam komputer. AR tadi akan menghasilkan pandangan campuran untuk pengguna yang mana ia merupakan gabungan pandangan sebenar yang dilihat oleh pengguna dengan pandangan maya yang dihasilkan oleh komputer dengan menambah maklumat di tempat yang dilihat. Pandangan maya yang dihasilkan oleh komputer direka untuk meningkatkan persepsi deria pengguna terhadap dunia maya yang mereka dari segi pandangan dan juga interaksi.

Tujuan Augmented Reality
AR bertujuan untuk mewujudkan satu sistem dimana pengguna tidak dapat membezakan diantara dunia sebenar dan juga dunia maya yang telah diubahsuai. Hari ini AR telah banyak digunakan dalam pelbagai sektor dan industri antaranya ialah dalam bidang hiburan, latihan ketenteraan, reka bentuk kejuruteraan, robotik, pembuatan dan penghasilan serta dalam industri yang lain.

Antara contoh-contoh Augmented Reality

Untuk reka bentuk kejuruteraan

Untuk pengiklanan

Untuk permainan
Aku tak pasti sama ada penggunaan Augmented Reality ni dah meluas atau belum dekat Malaysia ni, tapi yang aku pernah nampak, dekat komik Upin Ipin pernah buat AR ni. Pendapat aku, AR ni memang banyak kelebihan nya, kalau orang meniaga, korang boleh buat iklan guna AR, mesti dapat tarik ramai orang.hehehe

P/s : Sorry sangat-sangat kalau korang tak dapat faham translation aku tu. Aku dah cuba nak mudahkan dalam bahasa melayu, cuma itu je yang aku mampu..

Monday, July 06, 2015

[Mumble Monday] Blog Yang Paling Cantik

Salam dan hai kepada para readers semua...

Gerangan blog siapakah yang cantik itu.?? Adakah blog itu secantik para-para sakura pelakon yang ada di Malaysia ini.?? Kejap, macam mana pulak aku boleh kaitkan kecantikan blog dengan kecantikan manusia.?? Kenapa pulak semua ayat-ayat berbentuk pertanyaan dijadikan sebagai asas kepada perenggan pertama dalam entri kali ni.??

Wah, banyak betul persoalan yang tiba-tiba wujud di perenggan pertama tadi. Namun macam mana pun, aku dengan gembiranya ingin mengumumkan bahawa persoalan diatas tadi boleh korang abaikan. Yeayyyy, mesti korang semua gembira kan sebab tak payah nak pikir-pikir jawapan untuk persoalan dekat atas tadi. Takpe-takpe, korang semua tak perlu nak berterima kasih dekat aku.
Cantik tak bunga ni.?? (takde kene mengena dengan entri ni.)

Adoiii, dah makin sesat aku bawak hala tuju entri ni, lebih baik aku bawa kembali entri ni ke pangkal jalan atau ke jalan yang lurus. Cerita yang sebenarnya macam ni, seperti mana korang sedia maklum, aku baru sahaja kembali ke dunia blog ni selama seminggu. Jadi untuk mengembalikan zaman jahiliah kegemilangan blog ni, aku perlu melakukan upacara memanggil semangat.

Banyak lah aku punya upacara memanggil semangat, takde maknanya semua tu. Aku kena lah rajin berblogwalking ke blog orang. Mempromote alamat rumah blog aku dekat chatbox dan ruang-ruang komen blog orang. Namun, sepanjang aku singgah ke blog-blog yang ada, aku dapati ada sesuatu yang ganjil. Okay, bukan lah ganjil pun, cuma aku pelik je.

Aku pelik, macam mana korang punya blog cantik sangat. Kalau masa dulu, blog-blog yang ada dekat Malaysia ni, banyak yang guna template yang sedia ada je. Tapi sekarang tu diaaa, punya lah canggih-manggih blog nya. Macam-macam rupa ada, sampai aku tak sure sama ada itu blog atau pun website. Macam mana korang cantikkan blog korang.?

Ada tak sapa-sapa yang sudi menghulurkan sedikit ilmu untuk cantikkan blog.? Aku pun nak jugak cantikkan blog aku ni. Dah lah blog ni guna template biasa je, naik menyampah pulak aku. Amboi-amboi, suka-suka je aku nak menyampah blog sendiri. Kalau dah tak suka, tukar jelah rupa blog ni, kan senang. Okay, aku nak sambung blogwalk lagi, nak pergi tanya macam mana korang buat blog korang tu..

P/s : Ye, aku tau entri ni tak bagitau blog sapa yang paling cantik. Korang jangan lah marah pulak ye..hehehe

Sunday, July 05, 2015

[Story Sunday] Ayah Akan Sentiasa Ada Di Sisi Mu.

Salam dan hai kepada para readers semua..

Aku memang tak sangka yang ibu aku akan memarahi aku seteruk ini. Tidak pernah aku melihat ibu memarahi aku sehingga dirinya sendiri yang mencucurkan air mata. Aku faham kenapa ibu memarahi aku, aku juga faham yang sememangnya aku yang bersalah jadi aku terima segala teguran dan marahan ibu. Aku berjanji yang aku tidak akan mengulangi salah aku itu.

Setelah beberapa minit aku dimarahi, aku kembali masuk kedalam bilik, aku sangat-sangat menyesal dengan tindakan aku semalam. Kalau lah aku balik sahaja kerumah selepas habis tuisyen, pasti ibu tidak akan risau sehingga ke hari ini. Aku tidak mahu memikirkan perkara yang sudah lepas itu. Tapi entah kenapa hati aku berasa sakit sangat.

Rasa sakitnya itu seolah-olah seperti sakitnya apabila jantung ini meletup. Aku seperti ingin melakukan sesuatu, tapi aku tidak pasti apakah ia. Akhirnya tanpa aku sedari, air mata aku jatuh mengalir ke pipi aku. Dan apabila aku sedar tentang air mata itu, perasaan di dada aku menjadi sebak sehingga aku menangis sendirian di dalam bilik aku.

Ketika aku sedang menangis itu, tiba-tiba ada satu suara yang datang menerjah ke gegendang telinga aku. Suara yang sudah amat lama tidak aku dengari, suara yang lembut itu memberitahu aku agar bersabar. Ingin sahaja aku menoleh dan mencari dari manakah bunyi suara itu datang. Namun entah mengapa, anggota badan aku kaku.

Aku tidak mampu bergerak dan dalam masa yang sama juga, aku dapat merasakan seolah-olah ada seseorang sedang mengusap kepala aku. Bukan setakat kepala aku sahaja diusap, aku juga terkejut kerana aku memang dapat merasakan bahawa ada tangan seseorang yang mengesat air mata di pipi aku ini. Ketika aku masih lagi didalam keadaan terkejut, tiba-tiba suara itu muncul lagi dan mengatakan.

"Ayah akan sentiasa ada di sisi kamu.."

Habis sahaja aku mendengar ayat itu, terus aku tersentak dan kali ini badan aku sudah kembali bergerak. Segera aku memanggil nama ayah, aku mencari disegenap ruang bilik aku, namun kosong. Tiada sesiapa yang berada didalam bilik itu selain diri aku sendiri. Kemudian aku menangis sekali lagi, cuma tangisan kali ini bukan lah tangisan kerana menyesal.

Tangisan kali ini ialah tangisan gembira kerana aku tahu bahawa aku teramat rindukan ayah aku yang telah pergi sejak sebulan lalu. Aku sangat gembira kerana dapat mendengar suara ayah aku, walaupun aku tidak pasti sekiranya itu hanyalah mimpi dan khayalan aku sahaja. Aku bergegas menuju kebilik air dan mengambil wudhuk. Aku lakukan solat sunat dan berdoa agar ayah aku akan sentiasa mendapat rahmat dari-Nya.

Aku teringat ketika aku kecil dahulu, sekiranya ibu memarahi aku sehingga aku menangis, ayahlah orang yang akan datang memujuk aku. Dialah yang akan mengusap kepala aku sambil menyuruh aku bersabar. Dialah juga orang yang akan mengesat air mata di pipi aku ini. Kini dia sudah tiada, jadi aku perlu memastikan perjalan hidup aku dan ibu aku menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

P/s : Sebenarnya cerita ni aku dapat dari kawan aku, tapi aku ubah cerita ni supaya tidak sama dengan ceritanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...