Showing posts with label perempuan. Show all posts
Showing posts with label perempuan. Show all posts

Saturday, August 22, 2015

[Story Saturday] Satu panggilan tidak bernama

Salam dan hai kepada para readers semua..

Aku mendapat satu panggilan dari nombor yang tidak bernama. Namun alangkah baiknya kalau aku tidak menjawab panggilan itu. Tapi apakan daya aku, kerana aku sendiri memang tidak menyangka dengan menjawab panggilan dari nombor yang tidak benama ini sahaja ia mampu untuk mengubah nasib aku yang selama ini berjalan seperti biasa.

Petang itu aku berjalan seorang diri di sebuah taman permainan. Setelah puas berjalan-jalan menghirup udara segar, tiba-tiba telefon bimbit aku berdering. Nombor tidak bernama, kebiasaannya aku biarkan sahaja, tapi entah kenapa pada petang itu aku menjawabnya. Kedengaran suara yang keluar ialah suara seorang perempuan, tapi aneh mengapa suaranya sangat cemas.

Aku meminta dia untuk bertenang dan menceritakan apa yang telah berlaku kerana aku terlalu ingin tahu kenapa dia meminta pertolongan dari aku. Perempuan itu berkata yang dia sebenarnya telah diculik oleh sekumpulan penjahat. Aku terdiam seakan-akan tidak percaya dengan apa yang aku dengar, tetapi kedengarannya yang perempuan itu bercakap benar.

Pada mulanya aku katakan pada dia yang aku tak ada masa untuk bermain, tapi perempuan itu beria-ia memberitahu aku bahawa dia bercakap benar. Mahu tidak mahu, aku terpaksa juga percaya pada perempuan itu kerana kalau aku abaikan, mungkin dia betul-betul dalam bahaya. Aku mula cemas tetapi selepas cuba bertenang seketika, aku bertanyakan kepada perempuan itu dimana tempatnya.

Tapi, seperti apa yang aku sangkakan, perempuan itu tidak tahu dia berada dimana. Kali terakhir tempat dia diculik ialah dikedai makan, dan kini dia berada didalam sebuah pondok. Aku bingung memikirkan bagaimana aku hendak mendapatkan lokasi dia. Tiba-tiba dia memberitahu aku yang dia nampak keadaan luar seperti berada diatas bukit.

Kemudian aku tanyakan kepada perempuan itu dimana tempat dia makan dan anggaran masa selepas dia diculik. Setelah mendapat maklumat itu, aku sudah mendapat petunjuk dimana tempat perempuan itu disembunyikan. Aku ingin melaporkan kepada polis, tetapi perempuan itu katakan yang dia mungkin tidak ada banyak masa sebelum penculik itu membawa dia pindah ke tempat lain.

Apabila dia berkata seperti itu, aku pun mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke tempat yang aku jangkakan tadi. Aku mengambil masa hampir 45 minit untuk sampai ke tempat itu dan mungkin nasib aku baik kerana tempat yang aku jangkakan tadi memang tepat. Sepanjang perjalanan itu aku memujuk dia agar tenang dan jangan buat perkara yang mencurigakan, aku tidak mahu panggilan ini terputus.

Dari jauh lagi aku sudah nampak sebuah pondok diatas bukit dan aku mengambil keputusan untuk meletakkan kereta aku jauh dari tempat itu. Secara perlahan-lahan aku menghampiri pondok itu, panggilan aku dengan perempuan tadi sudah terputus kerana gangguan isyarat ketika menaiki bukit dan ini menambahkan lagi rasa cemas aku.

Perlahan-lahan aku memusingkan tombol pintu pondok itu dan apabila terbuka, aku nampak ada seorang perempuan dengan kaki, tangan serta mulutnya terikat. Mata perempuan itu membulat seolah-olah menyuruh aku untuk memandang ke belakang. Dan apabila aku menoleh kebelakang, satu das tembakan telah dilepaskan. Tubuh aku menjadi lemah dan aku jatuh sambil memandang perempuan itu menangis. Pandangan aku kabur dan akhirnya aku tidak bernafas lagi..

P/s : Ni apa kes lah aku buat cerita bad ending ni...

Saturday, July 25, 2015

[Story Saturday] Tira (Part 3)

Salam dan hai kepada para readers semua...

...Sambungan daripada Tira (Part 2)

Setelah Tira menekan butang yang ada pada batu itu, keadaan menjadi seperti sedia kala. Suasana menjadi riuh rendah dengan bunyi kenderaan dan juga suara-suara orang yang berjalan kaki. Tanpa berfikir panjang, Tira menekan butang itu lagi sekali dan sekali lagi keadaan sekeliling menjadi senyap sunyi dan situasi seperti masa berhenti terjadi lagi sekali.

Barulah Tira tahu yang batu dia pegang itu mempunyai kuasa untuk menghentikan masa. Pada mulanya Tira takut kerana dia tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi pada dirinya. Tetapi setelah beberapa kali dia menggunakan batu itu untuk kepastian, barulah Tira yakin menggunakan batu hijau itu. Tira terfikir, dia bingung memikirkan untuk apa dia menggunakan batu itu.

Namun setelah beberapa kali dia berfikir, muncul satu idea jahat didalam fikirannya iaitu hendak membalas dendam terhadap Alia dan juga Zahid. Sepanjang malam dia memikirkan apakah balasan yang patut dia berikan kepada orang yang sangat dibencinya itu dan setelah membuat keputusan, Tira melelapkan matanya akibat kepenatan dengan apa yang terjadi kepada dirinya hari ini.

Keesokkan harinya, jam loceng berbunyi menandakan sudah pukul 9.30 pagi. Tira bingkas bangun kerana dia sudah tidak sabar lagi hendak membalas dendam terhadap Alia dan juga Zahid. Rancangan nya ialah dia mahu bersemuka dengan mereka berdua, kemudian membuat perkara yang boleh memalukan mereka berdua ketika masa diberhentikan.

Setelah Tira bersiap-siap untuk keluar, dia berjalan menuju ke taman permainan dimana itu merupakan tempat lepak Alia dan juga Zahid. Sewaktu dia sedang berjalan, entah bagaimana muncul seekor anjing menyalak kuat dihadapan Tira. Tira ketakutan dan tanpa dia berfikir panjang dia terus melarikan diri demi mengelakkan dirinya dari diapa-apakan oleh anjing tadi.

Apabila melihat Tira melarikan diri, anjing tadi mula membuka langkah ingin mengejar Tira. Dengan salakannya yang kuat membuatkan Tira semakin panik dan berlari semakin laju. Semakin laju Tira berlari, semakin dekat anjing itu cuba mengejarnya dan ketika detik-detik paling mencemaskan itu lah Tira mendapat akal. Dia mahu menghentikan masa untuk melarikan diri dari anjing tadi.

Tira mencari batu hijau yang ada didalam beg galasnya ketika berlari, ternyata susah baginya untuk mencari batu itu dalam keadaan sedang berlari. Setelah berusaha beberapa kali meraba-raba dalam begnya, akhirnya Tira dapat memegang batu hijau yang dicarinya. Tira sangat gembira kerana dia tahu sebaik sahaja dia menekan butang yang ada pada batu itu, dia sudah pasti akan selamat.

Batu hijau tadi dikeluarkan dari dalam beg, dan entah bagaimana dalam masa yang sama juga kaki Tira tersepak tunggul kayu lantas menyebabkan dirinya jatuh tersungkur. Ketika dirinya sedang terjatuh itu lah, batu hijau yang dipegang olehnya tadi terlepas dan Tira dapat melihat batu itu jatuh ke lantai. Malang tidak berbau, butang pada batu itu mengenai lantai jalan menyebabkan butang itu sekaligus tertekan.

Suasana menjadi senyap sepi, tiada sebarang bunyi mahupun pergerakan yang berlaku. Batu hijau tadi tergolek diatas lantai jalan bergerak dihadapan tubuh anjing yang kelihatan kaku dalam posisi berlari. Batu hijau itu terus bergolek dan kali ini ia melintasi badan Tira yang turut sama kaku seperti anjing tadi. Terhentilah masa sejak waktu itu dan mungkin cuma akan bergerak kembali jika butang pada batu hijau itu ditekan lagi.

P/s : Aku nak tamatkan terus lah cerita ni, sebab ada banyak lagi cerita lain yang aku nak buat..

Sunday, July 12, 2015

[Story Sunday] Tira (Part 2)

Salam dan hai kepada para readers semua..

...Sambungan daripada Tira (Part 1)

Beg Tira bergerak-gerak dengan sendirinya dan Tira yang masih dalam keadaan terkejut mengambil batang penyapu yang berada di luar bilik. Dia segera menolak-nolak begnya kerana takut jika ada apa-apa haiwan yang berbahaya duduk didalam begnya itu. Setelah beberapa kali dia menolak beg tu, beg tadi kemudiannya senyap dan berhenti bergerak.

Tira berhati-hati mengangkat begnya dan ketika dia mengangkat beg itu, tiba-tiba ada sesuatu yang jatuh daripada kocek beg. Sebiji batu berwarna hijau tergolek dan ia menghala ke kaki Tira. Pada mulanya Tira agak takut untuk melihat batu sebesar bola golf itu, tapi entah kenapa dia terassa tertarik untuk mengetahui batu itu dengan lebih lanjut. Diambilnya batu itu dan kemudian dia membelek-belek batu itu.
Bayangkan jelah yang rupa batu tu macam pokeball ni..

Ada sesuatu yang pelik dengan batu itu, ditengah-tengah nya seolah-olah ada satu butang yang boleh ditekan. Tira cuba menekan-nekan butang tadi, tapi tiada apa-apa pun yang berlaku. Oleh kerana kepenatan yang teramat, Tira meletakkan semula batu tadi kedalam beg nya. Rancangan Tira ialah untuk membuang batu itu sebaik saja dia pergi ke kuliah esok pagi.

Sama seperti hari-hari sebelumnya, petang itu Tira berjalan pulang dari fakultinya. Sedang dia berjalan itu, baru lah dia teringat yang batu hijau semalam masih ada didalam begnya. Tira mula menyelongkar begnya sendiri mencari batu hijau itu. Ketika sedang leka mencari itu, ada satu suara memanggil namanya. Tira kenal suara itu dan pada mulanya dia enggan melihat siapa yang memanggilnya.

Suara yang memanggil namanya kini semakin dekat dan keras, Tira ketakutan untuk memandang wajah orang yang memanggilnya kerana dia tahu suara itu milik Alia. Akhirnya batu hijau yang dicari tadi sudah ada didalam genggamannya. Tira nekad untuk melarikan diri kerana dia tahu yang Alia pasti akan menyakitkan dirinya. Baru sahaja Tira melangkah, tangannya telah dipegang dengan genggaman yang kuat.

Tira terkejut dan dia berusaha untuk melepaskan diri. Tetapi usahanya untuk melepaskan diri membuatkan dirinya jatuh tersungkur apabila genggaman tangan yang kuat tadi melepaskan dirinya. Tira melihat Alia sudah mula berang terhadap dirinya, dan dia juga nampak yang Alia sudah mula mengangkat kakinya untuk memijak badan dia.

Kerana ketakutan sangat, Tira memejam matanya sambil terus menggenggam batu hijau didalam begnya dan secara kebetulan butang yang ada ditengah batu itu turut ditekan sama. Keadaan menjadi sunyi seketika, dan Tira mula membuka matanya. Sesuatu yang ganjil dan aneh telah berlaku terhadap dirinya, dia lihat keadaan sekeliling nya berhenti tidak bergerak.

Burung yang sedang berterbangan terhenti di udara, bunyi angin petang yang selalu bertiup juga tiada. Namun yang paling aneh sekali ialah, dihadapannya ada Alia yang masih lagi diposisi ingin memijak dia dan Zahid pula hanya berdiri kaku dibelakang Alia. Tira bingung dengan kejadian yang berlaku, dia berdiri dan berjalan sekeliling Alia. Dia cuba menyentuh Alia tapi takut jika Alia akan bergerak semula.

Tira segera berlari pulang ke rumah, dan sepanjang perjalanan dia pulang itu dia lihat semua orang tidak bergerak. Keadaan sekelilingnya semuanya terhenti seolah-olah masa sudah membeku. Apabila Tira sudah sampai dihadapan rumahnya, baru dia perasan yang tangannya masih lagi memegang batu hijau tadi. Dia perhatikan sekali lagi batu itu dan apabila dia menekan butang ditengah, secara tiba-tiba keadaan menjadi sedia kala.

Bersambung...

P/s : Aish, aku tak tau apa genre untuk citer kali ni. Kalau ada sesiapa yang baca, boleh tak bagitau kat aku citer ni genre apa.?

Saturday, July 11, 2015

[Story Saturday] Tira (Part 1)

Salam dan hai kepada para readers semua...

Tira, sorang pelajar yang mengambil jurusan sains komputer di sebuah universiti terkemuka. Peribadinya yang rajin dan sentiasa fokus terhadap pembelajarannya membuatkan dia menjadi salah seorang pelajar yang pintar didalam setiap kelas. Namun Tira adalah seorang yang kurang bersosial, masa cutinya banyak dihabiskan dengan membaca buku-buku.

Oleh kerana sikap kurang sosialnya juga membuatkan Tira sering menjadi mangsa buli oleh rakan-rakan sekelasnya. Tira selalu disuruh untuk menyiapkan assignment yang diberikan oleh pensyarah mereka. Walaupun Tira menerima, tapi jauh disudut hatinya itu tersimpan semua dendam dan perasaan amarah Tira terhadap rakan-rakan sekuliahnya.

Sehinggalah pada suatu petang, Tira baru sahaja tamat kuliah petangnya dan dia bersiap-siap untuk bergerak pulang. Ketika dia sedang berjalan di luar fakultinya, tiba-tiba ada sepasang tangan yang menarik badannya ke belakang. Tira yang terkejut hanya mampu mengikut sahaja arah tangan yang menarik dirinya. Setelah beberapa saat berjalan, tangan tadi melepaskan pegangannya dan menolak badan Tira jatuh ke tanah.

Tira cepat-cepat cuba untuk berdiri, tetapi ada pula beberapa kaki yang memijak badannya. Pandangan Tira mula beralih, mula melihat siapakah yang melakukan perbuatan biadap itu terhadap dirinya. Setelah diamati betul-betul, barulah Tira sedar rupanya Zahid dan juga Alia yang memijak badannya. Mereka berdua adalah pasangan kekasih yang suka membuat kacau disekitar kampus, dan orang yang selalu menjadi mangsa mereka ialah Tira.

Alia meminta Tira untuk memberikan dirinya wang yang berjumlah RM500 kerana mereka berdua sudah kehabisan wang akibat berjudi. Tira menolak permintaan Alia kerana dia sendiri tidak mempunyai wang sebanyak itu. Namun selepas Tira memberikan jawapan, tiba-tiba satu tendangan mengenai perut Tira, Tira menjerit kesakitan. Sementara Tira masih lagi baring kesakitan, Zahid menyelongkar beg Tira dan dia mengambil semua duit yang ada didalam beg itu.

Sebelum mereka berdua pergi, Alia memberitahu kepada Tira yang dia akan datang lagi untuk meminta wang yang dimintanya tadi. Tinggalah Tira terbaring sambil menahan kesakitan akibat disepak oleh Alia tadi, dan ketika dia sedang menahan sakit itu juga akhirnya Tira pengsan. Selepas beberapa jam, Tira membuka matanya, dia cuba bangun dan kali ini sakit akibat disepak tadi sudah mula hilang.

Tira cepat-cepat bangun dan memandangkan keadaan sudah gelap, dia bergegas mengemas beg nya yang bersepah tadi dan tanpa membuang masa, Tira terus pulang ke rumah sewanya. Setelah sampai dirumahnya, Tira terus terbaring kepenatan, dia sedih dengan hal yang berlaku kepada dirinya tadi. Dia takut kalau Alia mahu membunuhnya gara-gara dia tidak mengikut arahan Alia.

Sewaktu Tira sedang mengelamun itu lah tiba-tiba dia terdengar bunyi benda terjatuh. Tira yang terkejut tadi terus mencari dari manakah bunyi itu datang, dan setelah dia melihat keadaan sekeliling dia tahu bahawa bunyi jatuh tadi datang dari beg nya. Sewaktu dia sedang memandang begnya, sekali lagi Tira terkejut kerana begnya bergerak-gerak dengan sendirinya.

Bersambung....

Tira (Part 2)

P/s : Okay, cerita kali ni memang betul-betul spontan, sampai aku tak tau apa tajuk yang aku nak bagi..

Sunday, July 05, 2015

[Story Sunday] Ayah Akan Sentiasa Ada Di Sisi Mu.

Salam dan hai kepada para readers semua..

Aku memang tak sangka yang ibu aku akan memarahi aku seteruk ini. Tidak pernah aku melihat ibu memarahi aku sehingga dirinya sendiri yang mencucurkan air mata. Aku faham kenapa ibu memarahi aku, aku juga faham yang sememangnya aku yang bersalah jadi aku terima segala teguran dan marahan ibu. Aku berjanji yang aku tidak akan mengulangi salah aku itu.

Setelah beberapa minit aku dimarahi, aku kembali masuk kedalam bilik, aku sangat-sangat menyesal dengan tindakan aku semalam. Kalau lah aku balik sahaja kerumah selepas habis tuisyen, pasti ibu tidak akan risau sehingga ke hari ini. Aku tidak mahu memikirkan perkara yang sudah lepas itu. Tapi entah kenapa hati aku berasa sakit sangat.

Rasa sakitnya itu seolah-olah seperti sakitnya apabila jantung ini meletup. Aku seperti ingin melakukan sesuatu, tapi aku tidak pasti apakah ia. Akhirnya tanpa aku sedari, air mata aku jatuh mengalir ke pipi aku. Dan apabila aku sedar tentang air mata itu, perasaan di dada aku menjadi sebak sehingga aku menangis sendirian di dalam bilik aku.

Ketika aku sedang menangis itu, tiba-tiba ada satu suara yang datang menerjah ke gegendang telinga aku. Suara yang sudah amat lama tidak aku dengari, suara yang lembut itu memberitahu aku agar bersabar. Ingin sahaja aku menoleh dan mencari dari manakah bunyi suara itu datang. Namun entah mengapa, anggota badan aku kaku.

Aku tidak mampu bergerak dan dalam masa yang sama juga, aku dapat merasakan seolah-olah ada seseorang sedang mengusap kepala aku. Bukan setakat kepala aku sahaja diusap, aku juga terkejut kerana aku memang dapat merasakan bahawa ada tangan seseorang yang mengesat air mata di pipi aku ini. Ketika aku masih lagi didalam keadaan terkejut, tiba-tiba suara itu muncul lagi dan mengatakan.

"Ayah akan sentiasa ada di sisi kamu.."

Habis sahaja aku mendengar ayat itu, terus aku tersentak dan kali ini badan aku sudah kembali bergerak. Segera aku memanggil nama ayah, aku mencari disegenap ruang bilik aku, namun kosong. Tiada sesiapa yang berada didalam bilik itu selain diri aku sendiri. Kemudian aku menangis sekali lagi, cuma tangisan kali ini bukan lah tangisan kerana menyesal.

Tangisan kali ini ialah tangisan gembira kerana aku tahu bahawa aku teramat rindukan ayah aku yang telah pergi sejak sebulan lalu. Aku sangat gembira kerana dapat mendengar suara ayah aku, walaupun aku tidak pasti sekiranya itu hanyalah mimpi dan khayalan aku sahaja. Aku bergegas menuju kebilik air dan mengambil wudhuk. Aku lakukan solat sunat dan berdoa agar ayah aku akan sentiasa mendapat rahmat dari-Nya.

Aku teringat ketika aku kecil dahulu, sekiranya ibu memarahi aku sehingga aku menangis, ayahlah orang yang akan datang memujuk aku. Dialah yang akan mengusap kepala aku sambil menyuruh aku bersabar. Dialah juga orang yang akan mengesat air mata di pipi aku ini. Kini dia sudah tiada, jadi aku perlu memastikan perjalan hidup aku dan ibu aku menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

P/s : Sebenarnya cerita ni aku dapat dari kawan aku, tapi aku ubah cerita ni supaya tidak sama dengan ceritanya.

Sunday, June 28, 2015

[Story Sunday] Gambar Perempuan Itu (Part 2)

Salam dan hai kepada para pembaca semua..

sambungan dari Gambar Perempuan Itu (Part 1)

Farid cuba fokus dan mula mencari apakah benda yang telah mengganggu tidurnya itu, dia perhatikan keadaan sekeliling nya. Gelap, hanya lampu tidurnya yang malap sahaja menerangin biliknya itu. Setelah beberapa minit, Farid cuba mencari punca yang mengganggu tidurnya itu, akhirnya baru dia sedar. Dia seperti terdengar seolah-olah ada bunyi halus perempuan ketawa didalam biliknya.

Walaupun bunyi itu perlahan sahaja, tetapi Farid yakin yang itu adalah bunyi perempuan ketawa. Farid cuba memberanikan diri dengan bangun dari katil. Secara perlahan-lahan Farid berjalan kearah bunyi yang dia dengar, namun belum sempat dia melangkah untuk kali ketiga, bunyi itu tiba-tiba lenyap dari dalam biliknya. Kini hanya bunyi cicak sahaja yang kedengaran. Farid membuka lampu biliknya dan dia tidur semula dalam keadaan terang.

Keesokan harinya, Farid bersiap untuk pergi ke kelas dan ketika dia memandang gambar perempuan yang dia jumpa semalam, Farid terfikir untuk mencari tuan kepada gambar tersebut. Farid mengambil kembali gambar itu dari bingkai nya dan meletakkan gambar itu didalam dompetnya. Ketika di kelas, Farid sempat bertanya kepada rakan-rakannya tentang gambar itu, tapi malangnya tiada siapa pun yang mengenali perempuan didalam gambar itu.

Sehingga ke petang dia cuba mencari maklumat berkenaan gambar itu, Farid juga ada bertanya kepada pensyarah-pensyarah yang dia kenal, tapi jawapan yang dia dapat tetap sama. Setelah penat kehulu dan kehilir mencari maklumat, akhirnya Farid membuat keputusan untuk pulang ke rumah sahaja. Sampai sahaja dirumahnya, Farid segera membersihkan diri dan kemudian dia terlelap.

Farid bangun dari tidurnya, namun kali ini sama seperti semalam. Bunyi itu datang lagi mengganggu tidur Farid. Pada mulanya dia mahu membiarkan sahaja bunyi itu, tapi semakin lama bunyi itu semakin jelas dan kali ini ia bukan lah bunyi perempuan ketawa. Farid terdengar ada orang menyebut namanya dan setelah beberapa kali suara itu memanggil nama Farid, dia pun segera bangun dan mula mencari arah suara itu.

Setelah puas diamati, akhirnya Farid tahu dari mana datangnya suara itu. Suara itu datangnya dari luar biliknya dan Farid dengan segera membuka langsirnya. Dia terkejut kerana di luar rumahnya itu berdiri seorang perempuan sedang memandang dirinya. Melalui cahaya yang samar-samar, Farid seolah-olah mengenali wajah perempuan itu.

Dia cuba mengingati semula dari manakah dia pernah melihat wajah perempuan itu. Farid terpandang gambar yang ada diatas meja belajarnya itu dan barulah Farid sedar yang wajah perempuan diluar itu mirip dengan wajah didalam gambar itu. Tiba-tiba Farid berasa sangat gembira, dia mahu sangat berjumpa dengan perempuan itu. Farid segera keluar dari rumahnya dan sebelum dia keluar, dia sempat mencapai gambar diatas meja tadi.

Farid lihat yang perempuan itu berdiri di tengah jalan dihadapan rumahnya. Pada mulanya Farid teragak-agak untuk pergi kearah perempuan itu. namun apabila perempuan itu melambai-lambai kearah Farid, kakinya sudah tidak lagi dibawah pengaruhnya. Farid sendiri yang berjalan kearah perempuan itu. Setelah Farid dapat berhadapan dengan perempuan itu, dia segera menunjukkan gambar yang dia pegang.

Belum sempat dia mendengar perempuan itu bercakap, tiba-tiba badan Farid terbang melayang. Dia tergolek diatas tanah dengan kepalanya berlumuran darah. Rupa-rupanya sebuah kereta telah terlanggar Farid kerana dia tidak nampak yang Farid sedang berdiri seorang diri ditengah jalan. Ketika pemandu itu mahu membantu Farid, Farid sudah tidak lagi bernyawa. Pemandu itu ternampak gambar yang dipegang oleh Farid dan apa bila dia melihat gambar itu, gambar itu menunjukkan seorang perempuan sedang tersenyum sambil menunjukkan tiga jarinya.

P/s : Ingatkan nak buat sampai part 3, tapi malas lah pulak.

Saturday, June 27, 2015

[Story Saturday] Gambar Perempuan Itu (Part 1)

Salam dan hai kepada para pembaca semua..

Petang itu Farid masih lagi berada di fakultinya, kelas petang yang dihadirinya itu memang sangat-sangat membosankan bagi dirinya. Dia memang tidak boleh belajar pada waktu petang, bagi dia waktu petang adalah waktu untuk beriadah, bukan untuk menimba ilmu. Mujur dia duduk ditepi tingkap, dapat lah dia melayan perasaannya dengan memandang ke arah luar.

Ramai pelajar-pelajar universiti seperti dia sedang berjalan-jalan, ada yang berpasangan dan ada juga yang berkumpulan. Tidak kurang juga ada yang berjalan sendirian sambil menikmati pemandangan dia sekitar universiti ini. Farid masih lagi memandang keluar tingkap, memerhatikan gelagat orang yang lalu lalang. Tiba-tiba dia tertarik kearah satu objek yang berada dibawah pokok ditepi kelasnya.

Kelihatan seperti sehelai kertas, tetapi dia tidak pasti. 10 minit telah berlalu dan pensyarah kelasnya telah membenarkan pelajarnya untuk pulang, termasuk lah Farid juga. Tanpa berlengah lagi, Farid terus mengangkat beg dan bergegas keluar dari kelasnya itu. Ada juga kawannya cuba mengajak dia untuk lepak bersama, tetapi Farid menolak pelawaan mereka dengan baik.

Kalau ini gambarnya, aku pun terpikat jugak,hehee
Sifat ingin tahu Farid melonjak sangat tinggi sejak dia terpandang kertas yang ada dibawah pokok itu. Farid pergi ke pokok yang berdiri tegak di sebelah kelasnya tadi. Farid berasa lega apabila dia melihat yang kertas tadi masih ada terbaring di tepi akar pokok tersebut. Tanpa membuang masa lagi, Farid terus menghampiri kertas itu dan kemudian baru dia sedar yang kertas itu sebenarnya ada lah sekeping gambar.

Gambar itu memaparkan seorang perempuan yang sedang tersenyum sambil membuat lambang "peace". Farid terpikat dengan senyuman perempuan itu, walaupun ia hanyalah sekeping gambar, tapi entah kenapa Farid berasa teringin sangat hendak bertemu dengan orang didalam gambar itu. Farid menyimpan gambar itu didalam kocek bajunya dan dia segera bersiap untuk pulang kerumahnya.

Apabila sampai sahaja dirumahnya, Farid meletakkan gambar tadi didalam bingkai gambar yang memang sudah sekian lama kosong tidak digunakan. Malam itu Farid seperti biasa belajar di meja belajarnya, cuma kali ini semangatnya untuk belajar berkurang kerana kebanyakan masanya habis dengan dia melihat gambar yang dia jumpa petang tadi.

Apabila matanya sudah berat, Farid mula bergerak kearah katilnya dan cuba untuk melelapkan matanya. Tidak sampai 5 minit, Farid sudah hanyut dibuai oleh mimpi-mimpi yang diciptakan oleh dirinya sendiri. Jam menunjukkan pukul 3.15 pagi, mata Farid tiba-tiba terbuka. Dia terbangun dari tidurnya, bangunnya itu bukan lah disebabkan dia terjaga sendiri, tapi lebih kepada ada sesuatu yang mengganggu tidurnya itu.

Bersambung.....

Gambar Perempuan Itu (Part 2)

P/s : Sebenarnya cerita ni aku pernah terbaca dekat satu website, tapi aku dah lupa website mana. Jadi aku ceritakan balik apa yang aku pernah baca dulu and adalah tambah sikit2..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...