Showing posts with label sabtu. Show all posts
Showing posts with label sabtu. Show all posts

Saturday, August 22, 2015

[Story Saturday] Satu panggilan tidak bernama

Salam dan hai kepada para readers semua..

Aku mendapat satu panggilan dari nombor yang tidak bernama. Namun alangkah baiknya kalau aku tidak menjawab panggilan itu. Tapi apakan daya aku, kerana aku sendiri memang tidak menyangka dengan menjawab panggilan dari nombor yang tidak benama ini sahaja ia mampu untuk mengubah nasib aku yang selama ini berjalan seperti biasa.

Petang itu aku berjalan seorang diri di sebuah taman permainan. Setelah puas berjalan-jalan menghirup udara segar, tiba-tiba telefon bimbit aku berdering. Nombor tidak bernama, kebiasaannya aku biarkan sahaja, tapi entah kenapa pada petang itu aku menjawabnya. Kedengaran suara yang keluar ialah suara seorang perempuan, tapi aneh mengapa suaranya sangat cemas.

Aku meminta dia untuk bertenang dan menceritakan apa yang telah berlaku kerana aku terlalu ingin tahu kenapa dia meminta pertolongan dari aku. Perempuan itu berkata yang dia sebenarnya telah diculik oleh sekumpulan penjahat. Aku terdiam seakan-akan tidak percaya dengan apa yang aku dengar, tetapi kedengarannya yang perempuan itu bercakap benar.

Pada mulanya aku katakan pada dia yang aku tak ada masa untuk bermain, tapi perempuan itu beria-ia memberitahu aku bahawa dia bercakap benar. Mahu tidak mahu, aku terpaksa juga percaya pada perempuan itu kerana kalau aku abaikan, mungkin dia betul-betul dalam bahaya. Aku mula cemas tetapi selepas cuba bertenang seketika, aku bertanyakan kepada perempuan itu dimana tempatnya.

Tapi, seperti apa yang aku sangkakan, perempuan itu tidak tahu dia berada dimana. Kali terakhir tempat dia diculik ialah dikedai makan, dan kini dia berada didalam sebuah pondok. Aku bingung memikirkan bagaimana aku hendak mendapatkan lokasi dia. Tiba-tiba dia memberitahu aku yang dia nampak keadaan luar seperti berada diatas bukit.

Kemudian aku tanyakan kepada perempuan itu dimana tempat dia makan dan anggaran masa selepas dia diculik. Setelah mendapat maklumat itu, aku sudah mendapat petunjuk dimana tempat perempuan itu disembunyikan. Aku ingin melaporkan kepada polis, tetapi perempuan itu katakan yang dia mungkin tidak ada banyak masa sebelum penculik itu membawa dia pindah ke tempat lain.

Apabila dia berkata seperti itu, aku pun mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke tempat yang aku jangkakan tadi. Aku mengambil masa hampir 45 minit untuk sampai ke tempat itu dan mungkin nasib aku baik kerana tempat yang aku jangkakan tadi memang tepat. Sepanjang perjalanan itu aku memujuk dia agar tenang dan jangan buat perkara yang mencurigakan, aku tidak mahu panggilan ini terputus.

Dari jauh lagi aku sudah nampak sebuah pondok diatas bukit dan aku mengambil keputusan untuk meletakkan kereta aku jauh dari tempat itu. Secara perlahan-lahan aku menghampiri pondok itu, panggilan aku dengan perempuan tadi sudah terputus kerana gangguan isyarat ketika menaiki bukit dan ini menambahkan lagi rasa cemas aku.

Perlahan-lahan aku memusingkan tombol pintu pondok itu dan apabila terbuka, aku nampak ada seorang perempuan dengan kaki, tangan serta mulutnya terikat. Mata perempuan itu membulat seolah-olah menyuruh aku untuk memandang ke belakang. Dan apabila aku menoleh kebelakang, satu das tembakan telah dilepaskan. Tubuh aku menjadi lemah dan aku jatuh sambil memandang perempuan itu menangis. Pandangan aku kabur dan akhirnya aku tidak bernafas lagi..

P/s : Ni apa kes lah aku buat cerita bad ending ni...

Sunday, August 16, 2015

[Story Sunday] Rahsia bilik bawah tanah.

Salam dan hai kepada para readers semua...

Aku ingat lagi ketika aku berumur 7 tahun, masa tu aku cuma tinggal berdua dengan ibu aku sahaja. Ayah aku telah pergi meninggalkan kami berdua. Namun pada masa tu, aku tak kisah pun walaupun ayah aku takde dekat rumah. Sebabnya ibu selalu cakap yang ayah pun tak kisah kalau dia tak jumpa kami berdua. Aku tak ingat sejak bila ayah pergi, tapi yang pasti ibu memang tak suka kalau aku sebut pasal ayah.

Tapi bukan cerita pasal ayah yang aku ingin kongsikan kepada anda semua. Cerita mengenai misteri bilik bawah tanah di rumah aku dahulu yang ingin aku bagitau. Ketika aku berumur 7 tahun itu, aku selalu terdengar bunyi rengekan budak-budak ketika aku mahu tidur. Tetapi bunyi itu tidak lah kuat sangat, hanya sayup-sayup sahaja bunyi itu masuk ke gegendang telinga aku.

Ibu aku memberitahu kepada aku bahawa itu adalah bunyi angin malam sahaja. Walaupun ibu katakan begitu, tapi aku yakin yang bunyi itu memang bunyi budak-budak menangis. Rasa curiga aku semakin bertambah apabila pada suatu malam aku terdengar seakan-akan ada bunyi ketukan pada besi dibilik bawah tanah. Aku biarkan sahaja bunyi itu kerana aku takut.

Pada suatu petang, ibu pergi keluar membeli barang dan ketika ketiadaan ibu itu lah aku mengambil peluang untuk masuk ke bilik bawah tanah. Tapi pintu bilik itu berkunci dan aku sendiri tidak tahu dimana ibu letakkan kunci bilik itu. Puas aku menyelongkar tempat biasa ibu menyimpan kunci, tapi hampa kerana tiada satu pun kunci yang sepadan.

Entah macam mana aku terfikir untuk mencari dibawah almari sebelah pintu untuk ke bilik bawah tanah tu. Alangkah gembiranya aku bila aku jumpa satu kunci berkarat dan kunci itu boleh membuka pintu bilik yang selalu menimbulkan rasa curiga aku. Perlahan-lahan aku melangkah menuruni tangga kayu, tapi belum sempat aku sampai ke bilik bawah tanah, tiba-tiba telinga aku ditarik orang.

Rupa-rupanya ibu yang menarik telinga aku dan membawa aku naik ke atas. Ibu memarahi aku kerana membuka pintu bilik itu. Selepas dimarahi, aku berlari ke bilik dan menangis, ibu tak pernah marah aku seperti itu, dan aku menangis kerana menyangka yang ibu tidak sayangkan aku lagi. Tapi tidak lama kemudian itu ibu masuk ke bilik dan memujuk aku.

Ibu memberikan aku sekeping coklat dan memujuk aku agar aku berhenti menangis. Ibu juga memberitahu aku yang dia sangat sayangkan aku. Aku gembira sangat apabila mengetahui yang ibu sayangkan aku. Dan disebabkan kegembiraan itu, aku tak jadi nak bertanya kenapa di bilik bawah tanah tadi ada budak yang dikurung, dan kenapa budak itu tiada kaki dan tangan.

P/s : Cerita ni cuma rekaan semata-mata, tiada kena mengena pun dengan sesiapa.

Saturday, August 15, 2015

[Story Saturday] Wajah aku yang menakutkan.

Salam dan hai kepada para readers semua...

Pada hari ini dan untuk entry ini, aku nak share kan dekat korang satu cerita yang benar-benar berlaku kepada diri aku. Jadi maknanya entry kali ini bukan lah entry berkenaan cerita membohong merakah yang selalu aku buat tu. Err, tapi sebenarnya cerita-cerita sebelum ni bukan lah cerita membohong pun, cuma cerita tu rekaan je..

Tapi tak kisah lah cerita tu tipu ke or benar ke, yang penting korang baca entry aku ni. Okay lah, sambung balik cerita untuk entry ni. Sebenarnya macam ni, pada suatu pagi yang tenang lagi damai, aku sedang baring di ruang tamu rumah aku sambil melihat cicak yang sedang berlari berkejaran. Sungguh romantik betul cicak-cicak tu, sikit je lagi aku nak rasa cemburu.

Sewaktu sedang termenung sendirian itu, tiba-tiba terdengar satu suara budak kecil memberi salam. Gerangan siapakah yang dengan beraninya dia mengganggu masa rehat aku.?? Apakah nyawa dia sudah cukup panjang sehingga dengan berani nya dia membuat onar pada waktu pagi ini. Err, macam melampau pulak ayat tu, sebenarnya aku takde lah rasa sampai macam tu sekali.

Rupa-rupanya suara budak tu datangnya dari luar dan dia adalah kawan adik aku. Pada mulanya aku biarkan sahaja budak itu memberi salam, tapi aku pelik pulak sebab biasanya diorang aku akan memanggil nama adik. Tapi kali ni cuma salam sahaja yang diberi. Aku pun dengan rasa malasnya bangun dan menjawab salam budak tadi.

Aku bangun dan terus tanya kepada budak itu gerangan siapakah yang dia cari? Tapi aku tak tau lah kenapa, sebaik sahaja budak itu memandang aku, mata dia terus terbeliak. Terserlah riak wajah ketakutan pada raut mukanya. Aku hairan dengan perangai dan sikap dia yang tiba-tiba terus berubah itu. Kemudian aku tanyakan lagi dia cari siapa.

Lepas tu barulah dia seakan-akan tersedar dan memberitahu bahawa dia datang kerana mahu memberikan buah rambutan. Selepas aku mengambil buah rambutan tadi, budak tu terus melarikan diri sambil meraung-raung. Okay, part meraung tu tipu lah., dia cuma lari biasa je. Cuma aku terfikir lah, kenapa dia tiba-tiba kaku apabila melihat aku tadi.

Selepas itu baru lah aku perasan, rupa-rupanya masa   aku bangun tadi rupa aku tak macam orang. Maksud aku, rupa aku tak terurus, dengan rambut berserabai, ditambah lagi dengan pencahayaan yang gelap. Memang sah lah budak tu takut bila nampak aku. Semenjak hari itu aku insaf dan aku tidak mahu merempit lagi. Eh eh, ni apahal tiba-tiba kes merempit masuk ni.??

P/s : Korang tak pelik ke aku nampak cicak berlari.??
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...